Isnin, 4 Oktober 2010

Tips 12: Ketahui Kelebihan Fungsi Pengurusan Kewangan Perniagaan Anda

Tugas dan tanggungjawab usahawan dalam pengurusan kewangan perniagaan boleh diringkaskan seperti berikut:
·   Membuat perancangan kewangan. Merancang kewangan merupakan aktiviti penting yang menentukan kelangsungan perniagaan.Perancangan kewangan perniagaan melibatkan perancangan jangka pendek dan jangka panjang.Pelaburan jangka pendek membabitkan pengurusan aliran tunai dalam masa yang pendek bagi memastikan perniagaan mampu membiayai keperluan modal kerja. Manakala pelaburan jangka panjang merujuk kepada rancangan pelaburan modal dan mencari sumber pembiayaan alternatif.

·     Mengurus aset perniagaan. Nilai aset yang dibentangkan dalam kunci kira-kira merupakan hasil daripada keputusan dan tindakan yang diambil oleh usahawan dalam perniagaannya. Aset perniagaan terdiri daripada aset semasa (wang tunai, stok dan penghutang) dan aset bukan semasa (aset tetap seperti tanah, bangunan, mesin, peralatan dan pelaburan jangka panjang). Kesemua asset ini perlu dibiayai, maka ia membabitkan modal kerja perniagaan.

·    Membuat keputusan dalam pelaburan jangka panjang. Usahawan perlu mengetahui teknik-teknik menilai pelaburan terhadap aset tetap (belanjawan modal). Pelaburan asset tetap merupakan aspek penting dalam pengurusan kewangan perniagaan kerana pelaburan ini menentukan kadar pengembangan perniagaan.

·     Mengurus sumber pembiayaan perniagaan. Usahawan perlu mengetahui bagaimana untuk membiayai keperluan kewangan perniagaan untuk membantu pengembangan perniagaan. Keputusan untuk membiayai perniagaan membabitkan pemilihan sumber pembiayaan samada menggunakan sumber pinjaman atau ekuiti, atau kedua-duanya sekali.

·    Melabur lebihan wang bagi memperolehi pulangan yang menarik. Pemegangan wang tunai yang berlebihan dalam perniagaan tidak akan memberi pulangan kecuali jika lebihan wang tersebut dilaburkan. Usahawan perlu bijak membuat keputusan samada untuk melabur wang tersebut bagi meningkatkan pulangan pemegang saham.