Sabtu, 31 Julai 2010

Tips 1: Persediaan Usahawan Untuk Mendapatkan Bantuan Modal Dari Pemodal Usahaniaga

Telah banyak saranan telah dibuat supaya institusi-institusi kewangan menimbang untuk menubuhkan syarikat modal usahaniaga. Melalui syarikat modal usahaniaga adalah diharapkan agar perkembangan perusahaan Bumiputera dapat dikembangkan. Walaupun melalui konsep modal usahaniaga seseorang usahawan hanya perlu mengemukakan satu cadangan projek perniagaan yang berpotensi tanpa memerlukan cagaran untuk memperolehi modalnya, tetapi usahawan tersebut terlebih dahulu membuat persediaan yang rapi dan kemas iaitu penyediaan Rancangan Perniagaan yang berdokumen. Rencana ini bertujuan untuk mengemukakan panduan agar para usahawan dapat meyakinkan pihak pemodal usahaniaga supaya sanggup menyediakan modal bagi melaksanakan idea perniagaan yang berpotensi itu.

Sesuatu cadangan yang akan dikemukakan oleh usahawan bagi mendapatkan bantuan modal/kewangan biasanya disediakan oleh pihak Perunding Pengurusan yang dibayar perkhidmatannya oleh usahawan. Pada hakikatnya untuk menyediakan satu kertas cadangan bagi maksud ini tidaklah begitu rumit asal sahaja usahawan tersebut memahami secara realiti apa projek yang akan dilaksanakan dan sebanyak mana modal yang diperlukannya serta daripada pihak pemilik modal yang mana satu akan didekatinya.


1) Tujuan & Objektif

Dalam bahagian ini secara ringkas seseorang usahawan hendaklah menjelaskan apa projek yang akan diusahakan oleh beliau. Di samping itu beliau juga hendaklah menjelaskan mengapa memilih projek tersebut untuk diusahakan. Segala bentuk kekuatan dan peluang yang ada berkaitan dengan projek tersebut hendaklah dihuraikan. Secara ringkas, segala kekuatan dan peluang ini akhirnya hendaklah diterjemahkan dalam bentuk perangkaan iaitu apa sebenarnya yang akan dicapai dan dimatlamatkan oleh usahawan tersebut.


2) Jumlah Keperluan Modal

Setelah diterangkan apa barangan/perkhidmatan yang hendak dikeluarkan serta apa yang dijangka akan diperolehi oleh pengusaha tersebut, maka seseorang usahawan itu hendaklah menyatakan berapa jumlah keperluan modal yang diperlukan untuk memulakan projek perniagaan tersebut sehingga perniagaan itu mencapai peringkat kematangan.

Beliau hendaklah menjelaskan bagaimana wang yang diperolehi akan digunakan atau dibelanjakan, bagaimana beliau merancang penyusunan modal yang diperolehi daripada pelbagai sumber dan bagaimana beliau menjustifikasikan sejumlahtertentu diperuntukkan untuk penggunaan tertentu yang dapat menyumbangkan ke arah produktiviti syarikatnya.


3) Strategi Pemasaran

Di sini pengusaha tersebut hendaklah menghuraikan sasarannya dan jumlah pasaran yang diperolehinya sekarang atau yang akan diperolehinya nanti. Beliau hendaklah sedapat mungkin mengetahui sedikit sebanyak tentang pengusaha-pengusaha lain yang mengeluarkan barangan/perkhidmatan yang sama dan yang bakal bersaing nanti. Usahawan juga perlu memahami sifat-sifat utama pasaran atau pelanggannya, tabiat (behaviour) mereka, kehendak (needs) mereka dan sebanyak mana dijangka akan dibelanjakan oleh pelanggannya untuk membeli keluaran beliau.

Di samping itu, beliau juga hendaklah membuat perancangan bagaimana yang sedia ada atau yang dijangka akan didapati, boleh dipertahan serta dikembangkan di masa yang akan datang.


4) Latarbelakang Syarikat

Seseorang usahawan atau pengusaha demi memberi keyakinan kepada pemilik modal selain daripada tiga (3) perkara yang menjadi keutamaan di atas, hendaklah menceritakan sedikit sejarah penubuhan syarikat tersebut (bagi syarikat yang telah sedia wujud). Bagaimana perkembangan syarikat dari segi organisasinya, perkembangannya modalnya, kedudukan para pekerjaannya, perhubungan dengan institusi kewangan, sejarah barangan/perkhidmatan yang akan ditawarkan di pasaran,sifat mutu/kualiti barangan atau perkhidmatan tersebut dan pelan tindakan perniagaan.


5) Huraian Tentang Barangan (Produk)/Perkhidmatan

Di sini usahawan tersebut hendaklah menghuraikan secara terperinci semua jenis keluaran yang dikeluarkan. Apa kebaikan barangan/perkhidmatan tersebut dari segi penggunaan, sifat-sifat keluaran,apa kelebihan barangan/perkhidmatan dengan pesaing lain serta apa istimewanya di pasaran.

Dalam pada itu, kos yang terlibat secara langsung dengan keluaran tersebut juga perlu dijelaskan. Ini adalah penting untuk menentukan barangan/perkhidmatan tersebut adalah yang sebaiknya di pasaran. Sumber-sumber bahan mentah juga perlu dikenalpasti bersama pembekal dan jumlah yang dibekalkan. Ini penting demi memastikan wujudnya daya penerusan dalam pengeluarannya.


6) Penyata Kewangan

Semua perkara yang dibincangkan di atas adalah berbentuk kenyataan atau huraian yang mana semuanya dapat diterjemahkan dalam bentuk perangkaan atau kuantiti. Bagi pihak pemilik modal, mereka lebih berminat untuk melihat apa yang akan diperolehi oleh syarikat tersebut dari segi keuntungan. segala huraian di atas hendaklah diterjemahkan dalam bentuk berapa keuntungan yang diperolehi dan berapa lama mereka akan mendapat balik modal yang mereka telah laburkan tersebut. istilah atau bahasa orang berniaga biasanya disebut "apa bottom linenya".

Di bahagian ini usahawan hendaklah mempersembahkan semua jenis penyata kewangan iaitu:

a) Penyata Untung & Rugi (P&L Statement)
b) Kunci Kira-Kira (Balance Sheet)
c) Penyata Aliran Wang Tunai bagi tiga (3) tahun yang lepas dan tiga (3) ke lima (5) tahun mendatang. (Cash Flow Statement)

Butiran-butiran munasabah bagi setiap penyata kewangan perlu dilampirkan supaya pihak pemberi modal yakin akan 'bottom line'.


7) Struktur Kedudukan Modal

Di sini dijelaskan senarai Pemegang-pemegang saham serta jumlah saham dan modal masing-masing. Diterangkan juga perkembangan modal masing-masing dari mula hingga sekarang. sekiranya terdapat perkembangan modal dalam bentuk Terbitan Hak, Bonus-Dividen,Terbitan Bonus, Stok Pinjaman dan sebagainya maka hendaklah dinyatakan secara terperinci beserta dengan tarikh berlakunya perubahan modal tersebut.


8) Butir-butir Lembaga Pengarah Dan Pengurusan (jika ada).