Ahad, 17 Oktober 2010

Tips 14: Memahami Penyata Kewangan Perniagaan - Balance Sheet / Kunci Kira Kira


Balance Sheet atau Kunci Kira Kira membentangkan kedudukan kewangan perniagaan pada sesuatu tarikh. Pada tarikh tersebut, penyata ini menunjukkan bagaimana jumlah aset perniagaan dibiayai sumber dalaman (modal atau ekuiti) dan sumber luaran (liabiliti). Pembiayaan terhadap aset melalui sumber dalaman dan sumber luaran ditunjukkan dalam kunci kira kira seperti persamaan berikut:


ASET = EKUITI PEMILIK + LIABILITI

ASET

Aset merupakan sumber ekonomi yang dimiliki oleh firma perniagaan yang mempunyai nilai wang. Aset dikelaskan kepada Aset Semasa dan Aset Bukan Semasa.

Aset semasa merupakan aset yang mudah ditukar menjadi tunai, boleh dijual atau digunakan dalam proses pembuatan dalam tempoh satu (1) tahun seperti wang tunai, stok barangan, penghutang dan sebagainya.

Manakala aset bukan semasa adalah aset yang tidak mudah ditukar menjadi wang tunai. Aset ini digunakan secara berterusan dalam aktiviti perniagaan dan tempoh melebihi satu (1) tahun, contohnya seperti tanah, bangunan, kenderaan, perabot dan sebagainya.


EKUITI PEMILIK

Ekuiti pemilik merupakan tuntutan pemilik terhadap aset perniagaan. Ekuiti pemilik dalam firma perniagaan terdiri daripada modal yang dilaburkan dan untung terkumpul yang diperoleh daripada operasi perniagaan.


LIABILITI

Sebaliknya liabiliti merupakan tuntutan pihak luar terhadap aset perniagaan. Ianya dikelaskan kepada dua (2) jenis iaitu liabiliti semasa dan liabiliti bukan semasa.

Liabiliti semasa perlu dijelaskan dalam tempoh kurang daripada satu (1) tahun seperti akaun pemiutang dan overdraf bank.

Manakala, liabiliti bukan semasa adalah hutang yang perlu dijelaskan dalam tempoh melebihi satu (1) tahun seperti pinjaman bank.