Ahad, 17 Oktober 2010

Tips 14: Memahami Penyata Kewangan Perniagaan - Balance Sheet / Kunci Kira Kira


Balance Sheet atau Kunci Kira Kira membentangkan kedudukan kewangan perniagaan pada sesuatu tarikh. Pada tarikh tersebut, penyata ini menunjukkan bagaimana jumlah aset perniagaan dibiayai sumber dalaman (modal atau ekuiti) dan sumber luaran (liabiliti). Pembiayaan terhadap aset melalui sumber dalaman dan sumber luaran ditunjukkan dalam kunci kira kira seperti persamaan berikut:


ASET = EKUITI PEMILIK + LIABILITI

ASET

Aset merupakan sumber ekonomi yang dimiliki oleh firma perniagaan yang mempunyai nilai wang. Aset dikelaskan kepada Aset Semasa dan Aset Bukan Semasa.

Aset semasa merupakan aset yang mudah ditukar menjadi tunai, boleh dijual atau digunakan dalam proses pembuatan dalam tempoh satu (1) tahun seperti wang tunai, stok barangan, penghutang dan sebagainya.

Manakala aset bukan semasa adalah aset yang tidak mudah ditukar menjadi wang tunai. Aset ini digunakan secara berterusan dalam aktiviti perniagaan dan tempoh melebihi satu (1) tahun, contohnya seperti tanah, bangunan, kenderaan, perabot dan sebagainya.


EKUITI PEMILIK

Ekuiti pemilik merupakan tuntutan pemilik terhadap aset perniagaan. Ekuiti pemilik dalam firma perniagaan terdiri daripada modal yang dilaburkan dan untung terkumpul yang diperoleh daripada operasi perniagaan.


LIABILITI

Sebaliknya liabiliti merupakan tuntutan pihak luar terhadap aset perniagaan. Ianya dikelaskan kepada dua (2) jenis iaitu liabiliti semasa dan liabiliti bukan semasa.

Liabiliti semasa perlu dijelaskan dalam tempoh kurang daripada satu (1) tahun seperti akaun pemiutang dan overdraf bank.

Manakala, liabiliti bukan semasa adalah hutang yang perlu dijelaskan dalam tempoh melebihi satu (1) tahun seperti pinjaman bank.

Jumaat, 15 Oktober 2010

Tips 13: Memahami Penyata Kewangan Perniagaan - P&L (Profit & Loss) Statement / Penyata Hasil

Semua jenis perniagaan perlu menyediakan penyata kewangan. Data yang dibentangkan dalam penyata kewangan boleh memberi maklumat yang berguna mengenai prestasi dan kedudukan kewangan perniagaan jika penyata tersebut dianalisis dan diintrepetasikan dengan betul serta tepat. Sebaliknya, jika maklumat ini diabaikan ianya boleh mendatangkan keburukan kepada kedudukan kewangan perniagaan. Maklumat-maklumat tersebut diperolehi daripada rekod-rekod perakaunan yang disediakan dan disimpan dalam perniagaan.


Penyata kewangan asas yang disediakan dalam perniagaan terdiri daripada penyata pendapatan dan kunci kira-kira. Penyata-penyata tersebut menggambarkan prestasi dan kedudukan perniagaan dari segi hasil yang diperoleh, perbelanjaan, aset, liabiliti dan nilai ekuiti pemilik yang terkumpul hasil daripada operasi perniagaan. Bab ini menerangkan bagaimana usahawan dapat memahami penyata-penyata kewangan asas tersebut.



PENYATA PENDAPATAN

Penyata pendapatan juga dikenali sebagai penyata untung rugi. Penyata ini membentangkan keputusan kewangan hasil daripada operasi perniagaan bagi sesuatu jangka masa (bulanan, suku tahun, setengah tahun atau setahun). Jumlah untung atau rugi bagi sesuatu jangka masa kewangan diperolehi dengan mengambil kira perbezaan di antara jumlah hasil dan jumlah belanja. Jika jumlah hasil melebihi jumlah belanja, perniagaan tersebut memperolehi keuntungan dan sebaliknya. Contoh penyata pendapatan ditunjukkan seperti di Jadual 2.1.

Sila klik pada jadual untuk paparan yang lebih besar


Terdapat dua (2) bahagian utama dalam penyata pendapatan iaitu hasil dan perbelanjaan. Untung bersih sebelum cukai yang ditunjukkan di bahagian bawah penyata pendapatan yang diperolehi seperti berikut:


UNTUNG SELEPAS CUKAI = JUALAN - KOS JUALAN – PERBELANJAAN



Hasil

Hasil atau pendapatan, merupakan wang yang diterima atau tuntutan wang yang akan diterima daripada jualan barangan atau perkhidmatan. Selain daripada itu, hasil perniagaan juga merangkumi faedah, dividen, komisyen, diskaun diterima dan sewa diterima. Penerimaan hasil menyebabkan pertambahan terhadap ekuiti pemilik.



Dua perkara penting berkaitan dengan hasil perlu difahami. Pertama, hasil daripada jualan merupakan jumlah nilai yang diterima daripada jualan dalam sesuatu jangka masa kewangan. Oleh itu, jumlah jualan yang ditunjukkan dalam penyata ini terdiri daripada jualan tunai dan jualan hutang (kredit). Kedua, hasil daripada jualan kredit, walaupun ditunjukkan dalam penyata pendapatan, masih belum diterima daripada pelanggan dalam bentuk tunai. Wang tunai yang masih belum diterima ini dikenali sebagai penghutang dan dianggap sebagai aset kepada perniagaan.



Hasil boleh dikategorikan kepada dua (2) iaitu hasil kendalian dan hasil bukan kendalian.


Hasil kendalian sesebuah perniagaan merupakan hasil yang diperolehi daripada aktiviti biasa seperti jualan bersih dan sumber pendapatan tetap yang lain seperti dividend an faedah.

Hasil bukan kendalian merupakan hasil yang diperolehi daripada aktiviti lain selain daripada aktiviti utama sesbuah perniagaan. Lazimnya, hasil bukan kendalian berlaku secara kebetulan. Contohnya, jualan tanah oleh perniagaan yang membuat makanan merupakan hasil bukan kendalian kerana aktiviti utama organisasi tersebut bukan melibatkan jual beli tanah.


Perbelanjaan

Perbelanjaan merupakan kos perkhidmatan atau barang yang digunakan untuk membantu perniagaan memperoleh hasil. Belanja dianggap telah dikenakan pada tahun semasa atau tahun yang lepas setelah hasil diperolehi seperti kos barangan, kos pembuatan dan sebagainya. Dalam erti kata lain perbelanjaan diambil kira sebaik sahaja dikenakan terhadap perkhidmatan yang telah diterima bukan semasa dibayar. Belanja perniagaan akan mengurangkan ekuiti pemilik serta dikategorikan kepada belanja kendalian dan belanja bukan kendalian.

  • Belanja kendalian merupakan belanja untuk menjalankan aktiviti perniagaan seperti gaji pekerja, belanja iklan, insurans dan sebagainya.
  • Belanja bukan kendalian adalah belanja bagi aktiviti yang bukan bagi menjurus kepada pengoperasian perniagaan seperti rugi daripada jualan aset tetap atau rugi luar biasa kerana kebakaran atau bencana alam.





Isnin, 4 Oktober 2010

Tips 12: Ketahui Kelebihan Fungsi Pengurusan Kewangan Perniagaan Anda

Tugas dan tanggungjawab usahawan dalam pengurusan kewangan perniagaan boleh diringkaskan seperti berikut:
·   Membuat perancangan kewangan. Merancang kewangan merupakan aktiviti penting yang menentukan kelangsungan perniagaan.Perancangan kewangan perniagaan melibatkan perancangan jangka pendek dan jangka panjang.Pelaburan jangka pendek membabitkan pengurusan aliran tunai dalam masa yang pendek bagi memastikan perniagaan mampu membiayai keperluan modal kerja. Manakala pelaburan jangka panjang merujuk kepada rancangan pelaburan modal dan mencari sumber pembiayaan alternatif.

·     Mengurus aset perniagaan. Nilai aset yang dibentangkan dalam kunci kira-kira merupakan hasil daripada keputusan dan tindakan yang diambil oleh usahawan dalam perniagaannya. Aset perniagaan terdiri daripada aset semasa (wang tunai, stok dan penghutang) dan aset bukan semasa (aset tetap seperti tanah, bangunan, mesin, peralatan dan pelaburan jangka panjang). Kesemua asset ini perlu dibiayai, maka ia membabitkan modal kerja perniagaan.

·    Membuat keputusan dalam pelaburan jangka panjang. Usahawan perlu mengetahui teknik-teknik menilai pelaburan terhadap aset tetap (belanjawan modal). Pelaburan asset tetap merupakan aspek penting dalam pengurusan kewangan perniagaan kerana pelaburan ini menentukan kadar pengembangan perniagaan.

·     Mengurus sumber pembiayaan perniagaan. Usahawan perlu mengetahui bagaimana untuk membiayai keperluan kewangan perniagaan untuk membantu pengembangan perniagaan. Keputusan untuk membiayai perniagaan membabitkan pemilihan sumber pembiayaan samada menggunakan sumber pinjaman atau ekuiti, atau kedua-duanya sekali.

·    Melabur lebihan wang bagi memperolehi pulangan yang menarik. Pemegangan wang tunai yang berlebihan dalam perniagaan tidak akan memberi pulangan kecuali jika lebihan wang tersebut dilaburkan. Usahawan perlu bijak membuat keputusan samada untuk melabur wang tersebut bagi meningkatkan pulangan pemegang saham.