Selalunya berita mendapat kelulusan pinjaman modal dari sesebuah institusi kewangan boleh melegakan setiap usahawan, lebih-lebih bagi mereka yang menghadapi masalah kewangan. Walau bagaimanapun keadaan ini tidak selalunya benar, kerana akan timbul beberapa masalah selepas daripada itu. Antaranya ialah kerumitan untuk membayar balik pinjaman tersebut (kala bulanan) dan tidak cukup wang untuk membiayai kos operasi harian. Walaupun jumlah jualan (sales) bertambah tetapi modal pusingan menjadi semakin merosot dan berkurangan. Sepatutnya semakin banyak wang yang dipinjam maka semakin besarlah perniagaan yang boleh diusahakan.
Sebenarnya, apa jua bentuk pinjaman yang kita diperolehi melibatkan kos. Kos ini termasuklah membayar balik pinjaman bersama-sama dengan faedah yang dikenakan oleh institusi kewangan tersebut.Justeru, semakin banyak kita meminjam maka semakin tinggilah jumlah wang yang perlu kita tanggung. Persoalannya adakah dengan jumlah pinjaman yang kita perolehi berupaya menjana pendapatan dan keuntungan (profit) yang berlipat ganda? Bagi kebanyakan kita, meminjam adalah "mempergunakan wang untuk mendapatkan wang".
Situasi 1:
Katakan kita membuat pinjaman untuk perniagaan kecil sebanyak RM30,000 selama lima (5) tahun dengan dikirakan kadar faedah lapan peratus (8%) setahun. Secara congak, bayaran balik yang perlu dibayar adalah sebanyak RM700 atau selama lima (5) tahun, bayaran balik secara keseluruhan adalah sebanyak RM42,000. Ini bererti terdapat lebihan sebanyak RM12,000 yang terpaksa kita tanggung. Jadi untuk membayar balik jumlah tersebut, kita hendaklah memastikan bahawa perniagaan kita memperolehi tambahan keuntungan mininumnya sebanyak RM700 sebulan atau dalam kata yang lain sekurang-kurangnya kita mesti mendapatkan 8% tambahan hasil daripada jumlah pinjaman. Ringkasnya setiap RM yang kita belanjakan dari jumlah pinjaman tadi, mesti menghasilkan pulangan sebanyak RM1.08 termasuk bayaran pokok.
Timbul persoalan seterusnya, bolehkah kita mendapat hasil sebanyak itu (seperti di Situasi 1) selama lima (5) tahun? Kalau tidak boleh maka terpaksalah kita menggunakan sumber-sumber lain yang ada untuk membiayai pinjaman tersebut. Inilah yang menyebabkan alir keluar wang tunai yang akan menjejaskan perniagaan kita. Dengan itu tiadalah gunanya kita meminjam kerana beban hutang yang kita tanggung akan menyebabkan alir keluar tunai.
Situasi 2:
Seperkara lagi mengapa kita tidak cukup wang tunai kerana kita meminjam lebih dari apa yang diperlukan oleh perniagaan kita. Katakan dengan membuat pinjaman RM50,000, kita mungkin hanya memerlukan RM30,000 sahaja dan selebihnya RM20,000 kita 'reserve' kan untuk kegunaan masa hadapan. Lebih buruk lagi apabila RM20,000 dialokasikan untuk penggunaan yang tidak produktif dan tiada kena mengena dengan perniagaan. Contohnya kegunaan peribadi seperti pembelian kereta dan lain-lain.
Maka dengan meminjam sebanyak RM50,000 bayaran bulanan yang dikenakan adalah sebanyak RM1,167 iaitu pertambahan sebanyak RM467 (Situasi 1 dari pinjaman RM30,000 tadi)Sehubungan itu, kita terpaksa menjana lebihan keuntungan sebanyak RM467 iaitu kenaikan sebanyak 66.7% dari RM700 (Situasi 1). bolehkah pinjaman tersebut menghasilkan pulangan sebanyak itu, lebih-lebih lagi jika tiada usaha atau cadangan jangka masa panjang untuk membesarkan perniagaan bagi menanggung beban pertambahan pinjaman tersebut.
Perkara ini biasanya berlaku di dalam perniagaan atau perusahaan kecil persendirian di mana kita adalah pemiliknya. Lebih-lebih lagi sekiranya laporan wang tunai yang lengkap tidak dibuat. Tanpa disedari kita menggunakan wang pinjaman tersebut kepada perkara-perkara yang tidak mendatangkan keuntungan kepada entiti perniagaan kita. Justeru uusaha melipat ganda jualan dengan strategi pemasaran yang efektif perlu dilaksanakan kerana itu sahaja caranya bagi kita memastikan paras keseimbangan pembayaran modal pinjaman dapat dilunaskan.
Seperkara yang mungkin berlaku ialah kegagalan kita menguruskan secara berkesan ke arah aliran tunai dalam perniagaan. Biasanya dengan meminjam, kita yakin bahawa masalah wang tunai akan pulih dan tidak payahlah merancang. Tetapi sedarkah kita bahawa sesuatu perniagaan akan gagal sekiranya kita tidak menyediakan wang tunai yang mencukupi bukan sahaja untuk membayar balik pinjaman modal malah membiayai kos barangan, kos payroll/gaji, kos perbelanjaan lain perniagaan, kos overhead dan cukai perniagaan. Sekiranya kita gagal memperuntukkan elemen-elemen tersebut maka sekali lagi kita gagal dan akan menghadapi masalah aliran wang tunai. Kebanyakan perniagaan gagal disebabkan tiadanya kecairan wang tunai (liquidity) yang mencukupi untuk membiayai perbelanjaan harian secara berterusan.
Oleh itu, pengurusan tunai yang efektif dan efisyen sebenarnya memberi kita jalan untuk menggunakan sumber-sumber dalam perniagaan dan membuatpenyediaan yang cukup untuk memenuhi keperluan perniagaan seharian. Perlu disebutkan juga bahawa selalunya aliran wang tunai dan keuntungan perniagaan tidaklah saling berkait kerana kebiasaannya aliran wang tunai menjadi sempit apabila bertambahnya keuntungan. Contoh seperti di Situasi 3 di bawah.
Situasi 3:
Jika permintaan dari barangan atau perkhidmatan bertambah dari sebelumnya, maka tentulah kita memerlukan wang tunai untuk membeli stok barangan tersebut. Aliran wang tunai juga menjadi lebih sempit kiranya kita membenarkan konsep hutang kepada pelanggan. Sebab itulah walaupun laporan kewangan menunjukkan kita mencapai keuntungan tetapi realitinya wang tunai tiada di dalam akaun perniagaan kita.
Konsep aliran wang tunai amat berhubung rapat dengan konsep pusingan modal justeru seni pemikiran yang inovatif dan kreatif adalah perlu bagi kita dalam semua aspek prinsipal perniagaan.