Sabtu, 31 Julai 2010

Tips 3: Sedikit Modal Tanda Ada, Banyak Modal Perlu Beringat



Adunan modal dan keusahawanan yang baik boleh menjayakan suatu perusahaan dan kekurangan salah satu unsur ini pula boleh menghalang kemajuan suatu perusahaan tersebut. Biasanya sebahagian dari keperluan modal perlu disediakan sendiri oleh usahawan dan selebihnya ditambah melalui terbitan modal dan pinjaman dari pelbagai sumber.

Ilham keusahawanan yang dimiliki oleh seseorang usahawan menjadikan beliau aktif dan beransang sekali mencari pelbagai ruang perniagaan tetapi keghairahan ini akan terbantut kerana kurangnya modal yang dimiliki. Oleh yang demikian, beliau perlu mencatukan modal yang ada untuk beberapa projek yang terbaik sahaja.


Sumber Modal


1) Simpanan Sendiri.

Sesuatu perusahaan yang diasaskan dengan sebahagian besar modal sendiri akan memberi keyakinan yang lebih kepada pihak pemilik modal lain termasuklah institusi kewangan dan orang awam untuk memberi tambahan modal bagi pelbagai tujuan urusan perusahaan.

Banyak contoh yang dapat kita lihat di mana usahawan-usahawan kita yang berjaya seperti Tan Sri Dato' Azman Hashim yang membina empayar perniagaannya bermulakan modal sendiri. Pada permulaannya beliau menggunakan modal sendiri kemudian setelah perniagaan tersebut stabil, tambahan melalui pinjaman bank dibuat. Setelah perniagaannya mantap dan menguntungkan, modal dikumpul dengan berkongsi modal melalui terbitan awam saham miliknya. Hasil pungutan modal awam yang dikumpulkan diguna pula untuk membayar balik pinjaman bank dan pembesaran perusahaannya.


2) Modal Ahli Keluarga dan Rakan-rakan.

Simpanan sendiri ditokok tambah dengan modal dari ahli keluarga dan sahabat handai menguatkan lagi asas modal perusahaan yang dijalankan. Kadang kala untuk memulakan sesuatu perniagaan, orang yang mudah memahami ilham perniagaan yang dimiliki ialah ahli keluarga sendiri bersama dengan sahabat yang terdekat. Lagi pula ahli keluarga tidaklah kena membayar bunga, sempat untuk sementara waktu dipusingkan sehingga perusahaan tersebut menjadi stabil. Setelah itu pembayaran balik beserta sedikit peratus keuntungan bolehlah diberikan kepada mereka. Jika mereka ingin kekal menjadi pemegang saham perusahaan tersebut, maka modal mereka tidak perlu dibayar balik, hanya dividen dibayar berdasarkan prestasi perusahaan.


3) Pemodal Persendirian Bermuafakat.

Modal juga boleh dikumpulkan secara bermuafakat di antara para pemodal persendirian. Ada di antara mereka yang mempunyai wang tetapi tidak cukup untuk menubuhkan perniagaan sendiri atau tidak mempunyai kepakaran untuk mengurus sendiri sesuatu perniagaan.

Untuk menjayakan hasrat masing-masing maka orang-orang persendirian yang mempunyai modal bolehlah bergabung tenaga menubuhkan satu perniagaan/perusahaan sama ada secara perkongsian atau persyarikatan.


4) Modal Dari Peruntukan Kerajaan.

Banyak agensi di bawah pelbagai Kementerian menyediakan bantuan modal. Apa yang perlu dilakukan oleh usahawan ialah sentiasa meninjau peluang-peluang peruntukan pinjaman tersebut. Perlu ada 'networking' bagi memudahkan urusan tersebut.


5) Pemodal Usahaniaga.

Sekarang terdapat kecenderungan di kalangan institusi kewangan atau syarikat-syarikat besar di negara kita untuk menubuhkan syarikat pemodal usahaniaga (venture capital) seperti Celcom, Maxis, TM Net, HPA dan pelbagai lagi.

Pada konsepnya syarikat ini menawarkan modalnya kepada mana-mana usahawan yang mempunyai projek yang berdaya maju secara usahasama. Pada kebiasaannya jumlah modal yang sanggup ditawarkan adalah dalam lingkungan 20% hingga 70% daripada jumlah keperluan modal untuk sesuatu projek. Selebihnya akan dikeluarkan sendiri oleh usahawan. dari segi pengurusan biasanya usahawan dipertanggungjawabkan untuk mengurus manakala pengawalan prestasi perusahaan akan dilaksanakan oleh syarikat pemodal usahaniaga melalui wakil-wakilnya dalam Lembaga Pengarah.


6) Institusi Kewangan.

Institusi kewangan seperti bank dan syarikat kewangan adalah sumber yang biasa dikunjungi oleh para usahawan untuk mendapatkan modal, baik ianya berbentuk modal tetap ataupun modal pusingan. Elakkan dari meminjam dari "loan shark" jika kita tiada perisai pertahanan.

Pada peringkat permulaan usahawan tidak perlu gelojoh untuk mendapatkan pinjaman bank. Usahawan perlu mengkaji dengan teliti sejumlah mana harus dipinjam dari bank dan sejumlah mana pula perlu diperolehi dari sumber yang lain. Tersalah membuat penilaian akhirnya usahawan boleh terjerat di dalam urusannya sendiri.


7) Modal Dari Pembekal.

Pembekal juga boleh dijadikan sumber modal pusingan oleh usahawan iaitu konsep pembelian secara kredit. Di mana perjanjian perlu dikuat kuasa bagi terma pembelian dan tempoh pembayaran.