Ahad, 1 Ogos 2010

Tips 4: Mengukur Pasaran Seperti Ukur Baju Di Badan Sendiri


Mengukur keluasan pasaran bermaksud membuat anggaran jumlah barangan atau perkhidmatan yang dapat kita jual kepada pengguna pada sesuatu masa, keadaan dan pasaran. Ianya berbeza dengan meramal jualan (forecast). Mengukur keluasan pasaran melibatkan anggaran keluasan pasaran sekarang dan akan datang. Sementara itu meramal jualan adalah suatu aktiviti meramal kenaikan atau penurunan jualan barangan pada suatu masa yang akan datang. Mengukur potensi pasaran amat penting terutamanya apabila kita ingin memulakan sesuatu perniagaan atau memasarkan barangan/perkhidmatan baru di pasaran.

Mungkin ada yang berpendapat ianya tidak perlu. Lebih-lebih lagi jika kita sudah pun melibatkan diri dalam perniagaan. Kini bercadang pula untuk memasarkan barangan yang baru dalam pasaran. Contoh setelah beberapa lama kita membekalkan kicap dan kita ingin memasarkan barangan baru iaitu sos tomato. Kita biasanya beranggapan bahawa keluasan pasaran sos tomato adalah sama seperti pasaran kicap. Jika kita memasarkan kicap sebanyak 400,000 sebulan, maka kita menganggarkan bahawa jumlah pasaran sos tomato juga sepatutnya berjumlah 400,000 sebulan. Inilah kesilapan yang selalu berlaku. Kita selalu beranggapan bahawa barangan yang disogokkan di pasaran akan dibeli oleh pengguna. Akibatnya kita lebih mementingkan berapa banyakkah yang patut dikeluarkan dari berapa banyakkah yang patut di pasarkan.

Kita sepatutnya fikir dan perhatikan berapa banyakkah jenama kicap dan sos tomato yang ada di kedai-kedai. Mungkin kita akan menemui 5 jenama kicap dan 10 jenis jenama sos tomato. Sebagai pengguna tentulah rambang mata dibuatnya. Pemilihan akan dibuat oleh pelanggan berdasarkan keenakan rasa, harga, jenama dan kadang-kadang kepada warna sos tomato tersebut. Oleh itu sebagai usahawan tentunya kita tidak boleh beranggapan bahawa pengguna yang menyukai kicap kita akan juga menyukai sos tomato yang akan kita pasarkan.

Mengukur keluasan pasaran merupakan satu perkara yang perlu dibuat. Secara keseluruhannya, ianya dapat membantu kita untuk menentukan samada patut atau tidak untuk memasuki satu-satu pasaran. Juga ianya berkesan bagi kita untuk merancang jumlah modal kewangan yang diperlukan untuk mengeluarkan sesuatu produk yang baru.

Setelah memahami akan keperluan kajian pasaran maka langkah kedua yang harus dilaksanakan adalah dengan menjawab persoalan-persoalan berikut:

1) Apakah jenis barangan/perkhidmatan yang sepatutnya dipasarkan?
2) Kepada siapa dan bagaimanakah barangan/perkhidmatan tersebut hendak dipasarkan?
3) Di kawasan manakah ianya akan dipasarkan?
4) Bilakah barangan/perkhidmatan tersebut perlu dipasarkan?
5) Apakah usaha-usaha atau kaedah-kaedah untuk memasarkan barangan/perkhidmatan tersebut?
6) Apakah andaian-andaian impak dalam memasarkan barangan tersebut?


Cara yang praktikal dalam menganggarkan potensi pasaran adalah dengan menggunakan ukuran berikut:

P = j x b x n

dimana; P = Anggaran keluasan pasaran
j = Jumlah keluarga di pasaran mengikut andaian
b = Jumlah penggunaan bagi purata keluarga
n = Harga seunit barangan


Setelah membuat anggaran keluasan pasaran, maka langkah kedua yang lebih penting ialah menganggarkan potensi pasaran penumpuan atau potensi pasaran syarikat melalui kaedah berikut:

PS = sp x P

dimana; PS = Potensi pasaran penumpuan atau pasaran syarikat
sp = Peratusan sumbangan pasaran syarikat
P = Anggaran keluasan pasaran.

Dengan mendapatkan anggaran tersebut sebagai asas yang munasabah maka mudahlah kita merancang strategi dan taktik kewangan, pengeluaran atau pemasaran tersebut.